Saya menyambut baik pandangan Ketua Setiausaha Negara,Tan Sri Mohd Sidek Hassan bahawa penjawat awam patut mencabar ’status quo’ ataupun keadaan sedia ada bagi membuat pembaikan.
Sebelum itu, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon juga memberi pandangan agar jabatan Kerajaan patut sentiasa mencari ruang untuk pembaikan, juga menunjukkan bahawa ada harapan untuk agensi-agensi kerajaan menjadi bertambah baik dari keadaan sedia ada.
Pada pandangan saya, jabatan kerajaan merupakan nadi utama dalam mana-mana masyarakat dalam sesebuah negara. Ini kerana peratusan besar ‘rakyat marhaen’ adalah pekerja di jabatan kerajaan. Maka kecemerlangan dalam operasi jabatan kerajaan akan menunjukkan sejauh mana terdidiknya masyarakat di negara tersebut. Tidak seperti agensi swasta yang mana lebih terperinci dan mempunyai syarat yang lebih ketat dalam memilih pekerja, maka sudah pastilah agensi-agensi swasta ini lebih efisien dalam operasi mereka.
Tidaklah saya katakan bahawa senario ini berlaku dalam setiap jabatan kerajaan atau swasta, sudah pasti ada beberapa pengecualian. Namun pemerhatian ini saya lakukan secara umum.
Senario ’status quo’ adalah sesuatu yang normal dalam jabatan kerajaan. Budaya ‘ikut prosedur’ atau ‘ikut orang atasan’ adalah perkara yang biasa berlaku dalam jabatan kerajaan. Biasa saya dengar dalam perbualan dengan beberapa orang penjawat awam, meskipun diherdik dan diperlekehkan, namun yang penting ialah ‘jangan lawan bos’. Tidak seperti jabatan swasta yang lebih menggalakkan dan memberi kebebasan lebih luas kepada pekerjanya untuk melakukan apa-apa usaha asalkan mampu memberi kecemerlangan dalam produktiviti syarikat.
1 tahun bekerja di luar negara, saya melihat bagaimana etika bekerja Barat. Usah terkejut andai mesyuarat mereka dipenuhi dengan pandangan-pandangan tajam dan ’straight to the point’. Usah terkejut juga seandainya ada seorang pekerja yang dengan pantas mengatakan ‘i dont think that is a right thing to do’. Ini semua senario yang normal dalam sesebuah perbincangan. Hasilnya? Anda lihat sendiri bagaimana tahap produktiviti Barat melalui kecemerlangan syariakt-syarikat mereka.
Benar, kita orang Melayu dan ada acuan sendiri dalam bekerja, namun seandainya kita boleh terfikir untuk melakukan Dasar Pandang Ke Timur dan PPSMI, mengapa tidak boleh untuk kita ambil sedikit apa yang baik dari mereka?
Saya melihat seruan Tan Sri Mohd Sidek adalah suatu yang patut disahut. Ada keperluan untuk kita mencabar ’status quo’. Perbincangan yang penuh dengan pelbagai pandangan adalah perbincangan yang cukup membina, di bandingkan dengan perbincangan yang penuh dengan jawapan ‘betul2′ atau ‘ok kot’. Ruang pembaikian di mana-mana akan sentiasa ada, terpulang kepada kita untuk mula bersikap kreatif dan kritis dalam mencari ruang perubahan.
Maaf seandainya termasuk sedikit isu politik, namun perubahan ’status quo’ dalam pemerintahan setelah PRU12 yang lalu memberikan kesan di mana kerajaan yang rasa ‘tercabar’ lantas bersaing untuk memberi khidmat yang lebih baik kepada masyarakat. Nah, bukankah itu satu kebaikan dalam “mencabar status quo”?
Filed under: Current issues, Random thoughts

dalam kehidupan perubahan akan sentiasa berlaku. yang menjadi persoalan ialah sebanyak mana perubahan yang boleh dilakukan dalam satu-satu masa dan apakah yang menjadi sebab atau pendorong (‘driver’) kepada perubahan tersebut.
dalam soal ini, kegagalan untuk ‘mencabar status quo’ boleh dikatakan berpunca dari perangai manusia yang takut atau inginkan ganjaran dari manusia yang lain. pada masa yang sama, ia boleh terjadi kerana tidak yakin dengan pendapat sendiri – mungkin juga kerana kurang ruang untuk berbuat demikian.
tunggak utama kepada perubahan yang sejati adalah adanya kesanggupan untuk berubah. dan ini hanya efektif sekiranya ia lahir dari niat ikhlas. dan ikhlas itu berlaku bila manusia ingat kepada Tuhannya. inshaAllah, inilah perubahan yang akan membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.