Tazkirah

Mahukah anda melakukan “the best job in the world?” Di kala manusia khilaf memilih kerjaya, anda tampil dan mengatakan inilah pekerjaan terbaik yang ada di dunia.

Rasulullah s.a.w telah melaksanakan kerjaya terbaik ini. Allah s.w.t yang memberi petunjuk, mengajarkan kepada kita bahawasanya kerjaya yang terbaik ialah bekerja untuk Allah s.w.t

‘Dan siapakah yang lebih baik ucapannya dari orang yang menyeru ke jalan Allah s.w.t, dan mereka berkata “sesungguhnya kami dari golongan muslimin” ‘[Quran]

“Seandainya dengan usaha kamu menyebabkan seseorang mendapat hidayah Allah s.w.t, maka itu lebih baik dari dunia dan segala isinya”[Hadis]

“Wahai orang-orang beriman, mahukah kami tunjukkan kepada kamu satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Kamu beriman kepada Allah & Rasul-Nya, dan kamu berjihad di jalanNya dengan harta dan diri kamu, itu lebih baik bagi kamu seandainya kamu mengetahui”[as-Saff]

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan salat dan meng-infaqkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi”[35:29]

Rasulullah dan para sahabat terkenal dengan ‘kerjaya’ ini.

Abdul Rahman bin Auf, isteri Nabi Khadijah r.a, semua ini saudagar yang cukup berada, namun hidup mereka mencari keredhaan Allah s.w.t sebagai keutamaan. Akhirnya kisah mereka dikenali umum sebagai pendokong dakwah Rasulullah lebih dari kisah perniagaan mereka sendiri.

Kefahaman para sahabat r.a tentang keutamaan ini turut di diaplikasikan oleh generasi selepas mereka:-

1- Imam Hanafi juga adalah seorang usahawan. Ini menjadikan kefahamanya dalam ekonomi islam lebih tepat dan praktikal. Fatwa ekonomi islam dalam mazhab hanafi banyak diguna pakai di seluruh dunia disebabkan kesesuaiannya itu. Namun umum mengetahui Imam Hanafi sebagai pejuang ilmu dan pengasas mazhab fiqh berbanding keusahawanannya.

2- Hassan al-Banna pengasas dakwah Ikhwanul Muslimin sebenarnya adalah seorang guru sekolah. Ayahnya pula, seorang ulama’ terkenal di Ismailliah rupa-rupanya adalah seorang tukang membaiki jam.

3- Sayyid Qutb lebih dikenali dengan kitab tafsirnya Fi Zilalil Quran, meskipun beliau sebenarnya seorang sasterawan & pegawai pendidikan kerajaan Mesir yang pernah dihantar ke Amerika Syarikat.

4- Dr Abdul Aziz ar-rantissi, pakar kanak-kanak yang lebih sinonim namanya dengan perjuangan HAMAS di Palestin.

Ramai lagi yang tidak mampu saya sebutkan di sini. Yang mana mereka ini semua memahami fiqh keutamaan dalam kehidupan mereka.

Ya, mereka semua ingin mendapatkan kerjaya yang terbaik di dunia ialah ‘penyeru ke jalan Allah s.w.t.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama [kisah hidup]. 

Mahukah kita dikenang sebaris dengan mereka yang mempunyai ‘kerjaya terbaik di dunia’? Atau kita mahu dikenang melalui harta kekayaan kita yang melimpah ruah. Pilihan terletak di tangan kita.

Leave a Reply