Memoar Haji 2005- Hari Tarwiyah

Hari ini 5 Zulhijjah. Ironinya, tatkala puluhan ribu umat islam Malaysia menuju ke Arab Saudi, saya pula akan pulang ke Malaysia pada hari ini.

Suasana Haji yang saya saksikan setiap hari melalu kaca TV Saudi (Saudi ada channel Mekah yang menyiarkan suasana Masjidil Haram 24jam), membuatkan saya terimbau kenangan lampau ketika saya mengerjakan Haji pada tahun 2005. Beberapa hari lagi pada 8 Zulhijjah, sebahagian umat islam akan menuju ke Mina untuk Hari Tarwiyah. Atas sebab mengelakkan kesesakan jutaan manusia, jemaah haji Malaysia tidak dijadualkan untuk menyertai Hari Tarwiyah di Mina. Jemaah haji Malaysia akan bergerak terus menuju ke Arafah pada awal pagi 9 zulhijjah atau malam 8 zulhijjah.

KONICA MINOLTA DIGITAL CAMERA

Namun keistimewaan yang saya dapat ialah apabila mengikuti kuota Jemaah Haji dari Australia (saya mengerjakan haji semasa masih dalam pengajian di Australia). Jadi saya lebih bebas untuk menentukan jadual sendiri dan menyebabkan saya berpeluang melakukan perkara-perkara yang sunnah dalam Haji. Salah satu perkara yang sunnah ialah berada di Mina semasa Hari Tarwiyah.

KONICA MINOLTA DIGITAL CAMERA

Pada hari tersebut,saya bersama rakan-rakan jemaah Haji dari Universiti Islam Madinah, telah berjalan kaki dari Mekah menuju ke Mina. Di sana kami bermalam satu hari, bersolat secara qasar tetapi tidak jamak (zohor asar, isyak 2 rakaat). Keesokan harinya pada 9 Zulhijjah selepas subuh, kami bergerak menuju ke Arafah

Picture 024

Perang Badar

IMG_1862 copy

Perang Badar merupakan perang yang cukup diketahui umat Islam. Peperangan ini disifatkan sebagai peperangan yang paling besar dalam sejarah umat Islam sehinggakan Allah s.w.t meletakkan peperangan ini sebagai pembeza antara Haq dan Batil berdasarkan firmanNya:-

8:41 Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnusabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) di hari Furqaan, yaitu di hari bertemunya dua pasukan. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu

Di sini Furqaan bermaksud “pembeza”, yakni pembeza Haq dan Batil.

Setibanya saya di lokasi peperangan Badar yang jauhnya sekitar 120km dari Madinah, jiwa saya tersentuh dengan suasana sunyi di kawasan tersebut. Di himpunan pepohon tamar inilah dahulunya sebuah sejarah ulung telah berlangsung. Di sinilah hampir kesemua pembesar Quraisy terbunuh, dalam pertempuran yang berlangsung hanya sekitar 2 jam. Sehinggakan seorang sahabat terkejut dengan pendeknya pertempuran tersebut!

IMG_1811

 

(Gambar rajah menerangkan situasi Perang Badar. Garis pertengahan ialah kawasan pertempuran. Tentera Muslimin Madinah dari arah atas dan tentera Musyrikin Makkah dari arah bawah)

Diriwayatkan dari sebuah kisah yang sahih, bahawsanya seorang sahabat (ketika ini beliau belum islam), yang diberi nama Ibn Asham telah menyaksikan pertempuran ini dari sebuah bukit berhampiran, tidak dapat dipastikan dari bukit yang mana satu.

Usai peperangan tersebut, dengan terkejutnya beliau berkata sendiri :-

“Demi Allah apa yang aku lihat ini cukup ajaib, bahkan mereka (tentera kafir) itu lari bertempiaran seperti wanita!”

Kata-kata beliau ini tidak diketahui oleh sesiapa kerana beliau berseorangan ketika itu, hinggalah pada suatu masa apabila Rasulullah s.a.w bertemu dengan Ibn Asham dan bertanya:-

“Wahai Ibn Asham, bukankah engkau telah menyaksikan Perang Badar?

“Ya”, jawab Ibn Asham

“Apakah yang telah engkau katakan pada waktu itu?”

“Tidak ada apa-apa”, jawab Ibn Asham

Bukankah engkau telah berkata ‘Demi Allah apa yang aku lihat ini cukup ajaib, bahkan mereka (tentera kafir) itu lari bertempiaran seperti wanita!’?

Mendengar kata-kata Rasulullah ini, Ibn Asham lantas menjawab ” أَشْهَدُ أَنْ لَاإِلَــــهَ إِلَّا اللهُ ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ” dan memeluk Islam.

Ini kisah yang sahih, yang disifatkan sebagai salah satu mukjizat Rasulullah s.a.w. Saya sempat bertanya dengan pegawai agama Saudi yang menjaga sekitar kawasan Perang Badar itu dan beliau mengesahkan kisah tersebut.

Bagi umat Islam, kisah dan lokasi Perang Badar ini wajar terus menjadi peringatan buat kita, bahawa pertembungan Haq dan Batil ini akan berterusan hingga akhir zaman.

Saudi National Day

Saudi National Day

Hari ini ialah Hari Kebangsaan Saudi. Hari ini disambut untuk meraikan kejayaan pengasas kerajaan Saudi, Raja Abdul Aziz as-Saud menyatukan wilayah-wilayah yang ada di tanah Hijaz yang membawa kepada tertubuhnya Kerajaan Arab Saudi secara rasmi 83 tahun yang lalu.

Penyatuan ini bermula dengan penawanan semula kota Riyadh oleh Abdul Aziz bersama sebilangan kecil tenteranya (tak silap saya 16 orang). Beliau yang pada ketika itu dalam buangan di Kuwait, pergi menyerang Kota Masmak di Riyadh dan menjatuhkan pemerintah Riyadh pada ketika itu.

Image
Saya sempat melawat Kota Masmak, dan melihat sendiri tinggalan dari sejarah kerajaan lama Riyadh. Di Kota inilah Abdul Aziz sendiri menyerang gabenor Riyadh pada ketika itu, dan pada masa yang sama gabenor melarikan diri ke dalam Kota dan menutup pintu, Abdul Aziz dan tenteranya melemparkan lembing dan tombak ke arah pintu tersebut. Kesan lemparan tombak-tombak tersebut masih boleh dilihat pada pintu Kota Masmak. Pintu Kota tersebut kemudiannya di rempuh dan Kota Masmak di tawan oleh Abdul Aziz dan tenteranya.

ImageBermula dari penawanan Riyadh pada tahun 1902, Raja Abdul Aziz as-Saud yang dinobatkan sebagai Pengasas Kerajaan Saudi yang berpusat di Riyadh, mula meluaskan kuasa dengan menawan dan menguasai bandar-bandar sekitar tanah Hijaz, seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di bawah. Akhirnya pada 17 Jamadil-Awwal 1351 bersamaan 18 September 1932, Kerajaan Arab Saudi diumumkan secara rasmi dengan Raja Abdul Aziz as-Saud sebagai raja yang pertama.

Image

“Arab Saudi” itu sendiri bermaksud “tanah Arab milik keluarga Saud”. Maka sehinggalah hari ini, pemerintah Negara Arab Saudi adalah terdiri dari kalangan anak-anak Raja Abdul Aziz as-Saud.

Coretan kembara dunia

image

Saya kembali ke sebuah negara Barat. Suasana ini mengamit kenangan 5 tahun yang lalu di Australia. Sekali imbas, ini sebuah negara yang penuh dengan kecanggihan dan sistematika kehidupan. Semuanya terancang, semuanya dirancang. Seolah tiada kelemahan.

Menjadi kegemaran saya untuk melihat dunia. Maka segala lebihan rezeki yang ada saya akan manfaatkan untuk mengembara. Tidak mungkin mendengar kisah itu lebih baik dari melihat sendiri apa yang ada. Jauh perjalanan, luas pemandangan, kaya pengalaman.

Banyak yang saya renungkan bila duduk di sini. Teknologi, budaya, suasana masyarakat, banyak yang berbeza. Secara umumnya orientasi masyarakat di sini adalah ke arah memudahkan hidup, dan mementingkan kualiti.

Sekolah di sini dihadkan satu pengetua kepada 200 pelajar sahaja, pengetua mudah untuk kenal semua pelajar. Ruang khas untuk OKU, parking di kawasana perumahan simple tapi tidak menghalang lalu lintas. Suasana aman, kereta mewah seperti Maserati, AUDI, BMW M5, semuanya diletakkan di tepi jalan sahaja depan rumah, tak perlu risau hilang. Sekilas saya kagum dengan keamanan ini, tidak dapat di Malaysia, silap parking kena calar, cermin kena pecah dek pencuri Smart Tag.

Alat mainan kanak-kanak banyak, berkualiti, dan sesuai untuk pendidikan anak-anak. Kedai alat mainan pun dibahagikan sections untuk ‘latih sentuhan’, ‘latih membaca’, ‘latih problem solving’ agar ibu bapa memiliha permainan sesuai dengan objektif didikan. Harga pun pelbagai, tak mampu beli baru boleh beli 2nd hand, kerana barang tahan lama. Di Malaysia belum sempat 1st hand habis guna dah rosak, banyak Made In China.

Maka semua ini menjadikan hidup sebuah keluarga di sini tidaklah mewah, tapi cukup sifatnya. Rumah yang selesa, pengangkutan awam yang baik, sekolah yang berkualiti, kedai yang sistematik. Tidak pelik untuk negara ini menjadi pilihan pelbagai insan menetap dan bekerja, ramai juga yang terus berhijrah menukar warganegara.

 

Kesepakatan Agenda Islam

 

Saya ambil beberapa masa meneliti semula kertas kerja Dialog Masa Depan Islam untuk melihat persamaan antara pandangan panelis. Ini beberapa noktah yang saya temui:-

1- Ust Ismail Mina menekankan dalam agenda membangun semula islam, projek utama ialah mendapatkan rijal (individu). Rijal ini kemudiannya perlu melalui proses membina kefahaman islam yang ilmiah berasaskan ahlus-sunnah wal jamaah.

2- Cikgu Azmi meletakkan tema agenda islam mengikut fahaman beliau ialah berasaskan kepimpinan. Seruan beliau ialah mencari individu yang sesuai dijadikan pemimpin, iaitu seseorang yang ingin dan mampu mengangkat aqidah dan syariah menjadi “mainstream”.

3- Dalam menjelaskan Islamisasi sebagai agenda islam, Dr Anis Malik Thoha menyentuh peri pentingnya ulama’ sebagai pewaris para Nabi. Beliau juga menekankan tentang fenomena merisaukan apabila seseorang yang tidak layak menjadi ulama’ tetapi di-ulama’kan. Akhirnya yang terjejas ialah “world view” islam yang dirosakkan oleh para orientalis.

4- Ust Muhammad Fauzi Asmuni membicarakan soal “membina bangsa Melayu sehingga menjadi syaukah/dominan” agar menjadi teras penegakkan islam di Malaysia.

Saya simpulkan ada 2 tema utama dalam agenda islam yang dijelaskan oleh para panelis di atas iaitu:-

1- Membentuk Individu

Tanpa individu, islam tidak akan tersebar. Islam adalah ummah, tanpa ummah, islam tidak akan ada wajahnya. Maka wajib membentuk individu/rijal yang memaparkan susuk tubuh islam yang asli.

2- Asas ilmu yang sahih

Secara mudahnya, tanpa asas ilmu yang sahih, manusia akan hidup dalam penipuan. Yang putih dikatakan hitam dan yang hitam dikatakan putih.  Itulah realiti yang berlaku di akhir zaman ini apabila yang alim disanggah dan yang jahil dijulang. Insititusi ulama tidak lagi dihormati, islam turun ke jalanan dan berhak ditafsirkan oleh sesiapa sahaja. Islam secara sengaja tidak dipilih sebagai bidang kepakaran sepertimana Perubatan, Kejuruteraan, Guaman, Perakauanan dan sebagainya diiktiraf sebagai bidang “professional” dan wujud “Pakar yang Diiktiraf” dalam bidang tersebut. Namun islam? Untuk semua, ditafsir oleh semua, dipilih oleh semua.